Skip to main content

DISIPLIN PELAJAR PUNCA KEJAYAAN


Secara konservatif, disiplin bererti latihan pemikiran dan kelakuan supaya boleh mengawal diri sendiri dan patuh pada tatatertib (Kamus Dewan edisi IV, 2005:356). Kejayaan pula bermaksud perihal berjaya, kemenangan atau hasil (Ibid:616). Maka, apakah sebenarnya bentuk kawalan yang perlu dilakukan oleh seseorang pelajar supaya kelak mencapai kemenangan atau hasil yang diharapkan?


Terdapat peribahasa berbunyi bahawa "jika tidak dipecah ruyung di mana boleh mendapat sagu". Maksudnya, tidak akan tercapai cita-cita dengan tidak berusaha kuat (Ibid:1359). Ruyung ialah kulit atau kayu yang keras daripada batang rumbia, enau dan lain-lain.
Pecah ruyung ialah lambang usaha kuat. Sagu ialah hasil dan kemenangan yang diperoleh. Keras pula ialah lambang bagi cabaran yang bakal ditempuh.


Usaha kuat ialah asas disiplin bagi pelajar. Usaha kuat ialah bentuk kawalan kendiri yang paling ampuh supaya pelajar sentiasa memiliki keinginan untuk berjaya walaupun cabaran yang dihadapi bukan kepalang. Jalan pintas untuk berjaya mungkin banyak, tetapi lebih bersifat jangka masa pendek.



Alat kerja kuat bagi pelajar ialah belajar dengan bersungguh-sungguh dan tekun. Cara-cara belajar boleh dibuat secara bersendirian, berguru dan berbincang dengan rakan sebaya. Setiap manusia yang lahir ke dunia mengalami proses pembelajaran menerusi rangsangan persekitaran dan orang lain.


Belajar bersendirian boleh dilakukan menerusi pembacaan buku fizikal, secara maya dan taakulan. Namun, harus diingat bahawa belajar sendirian semata-mata mungkin menjurus kepada kaedah cuba jaya (trial and error), lantas memakan masa yang cukup panjang. Nasihat profesional daripada pakar pembelajaran, terutama guru dan kaunselor harus diambil kira agar proses akses pembelajaran kendiri yang dilakukan mendatangkan hasil yang optimum.
Berguru ialah kaedah paling klasik dalam proses pembelajaran. Murid atau pelajar yang masih serba kekurangan (mentah) dengan suci hati bersedia menerima bimbingan guru-guru yang telah diiktiraf dari segi kelayakan akademik dan ikhtisas. Di sekolah, guru ialah pegawai pendidikan yang telah melepasi proses tauliah mengajar yang khusus.


Untuk berjaya, disiplin berguru yang mesti diamalkan ialah menjaga adab dan tingkah laku apabila berinteraksi dengan guru. Jika pelajar berasa bahawa terdapat kesilapan yang berlaku dalam pengajaran guru, mereka boleh menyatakan pendapat secara baik dan tidak menyinggung perasaan guru. Ahli falsafah Yunani seperti Aristotle, Plato dan Socrates berpegang kepada prinsip " guru dekat denganku, tetapi kebenaran lebih dekat kepadaku".
Disiplin pembelajaran sebaya pula merujuk kepada pembentukan kumpulan belajar yang punya fokus. Terdapat seorang pemimpin yang akan berperanan menjaga aktiviti anggota kumpulan belajar berkenaan supaya akur akan matlamat pembelajaran. Setiap anggota kumpulan belajar pula harus bersedia menyumbang, bukan sekadar penumpang pasif yang menjadi beban.


Selain membaca dan berbincang, pelajar mesti banyak membuat latihan. Disiplin yang perlu diterapkan semasa membuat latihan ialah patuh tugasan dan patuh masa. Pelajar harus ingat bahawa dalam peperiksaan, peruntukan masa menjawab begitu singkat dan tahap kecekapan menyudahkan semua tugasan akan memisahkan antara pelajar cemerlang dengan pelajar biasa-biasa.


Kesimpulannya, segala kaedah belajar yang dipilih akhirnya akan bergantung kepada disiplin sebagai kawalan agar pelajar sentiasa berada tetap pada landasan yang tepat. Kejayaan hanya dapat dikecapi setelah pelajar melalui proses disiplin kendiri dan nasihat pakar. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.


Comments

Popular posts from this blog

SAINS UPSR : Teknik Memikat Hati Murid Minat Subjek Sains

BAK kata orang-orang tua, `melentur buluh biarlah dari rebung', begitu jugalah dengan memupuk minat Sains seharusnya bermula sejak dari zaman kanak-kanak lagi. Pelbagai usaha dijalankan supaya sains diterima dan menjadi sebahagian yang penting dalam hidup masyarakat negara ini. Malangnya, setelah sekian lama usaha dilakukan bagi mencapai hasrat itu, kemajuan dan kejayaan dicapai dalam bidang sains di negara ini masih belum dapat dibanggakan. Mata pelajaran Sains merupakan antara satu subjek yang sering menjadi tumpuan. Bagi murid yang meminati mata pelajaran ini, tempoh 1 jam sesi pengajaran dan pemudahcaraan (pdpc) dilihat sangat tidak mencukupi. Banyak perkara yang hendak dilakukan dan perlu dipelajari dalam tempoh tersebut(SITUASI 1). Namun bagi murid yang tidak meminati mata pelajaran Sains, 1 jam tersebut merupakan satu tempoh penyeksaan yang sangat mengerikan(SITUASI 2).. Jadi bagaimana KITA sebagai Guru sains mewujudkan SITUASI 1 dalam pembelajaran kita... Berikut a...

Tip Memanfaatkan Masa Pada Cuti Sekolah

T ip Memanfaatkan Masa Pada Cuti Sekolah Bertemu kembali adik-adik! Selamat meneruskan cuti persekolahan. Bagaimana dengan pengisian cuti adik-adik setakat ini? Jangan lupa masukkan aktiviti belajar sebagai salah satu pengisian cuti adik-adik. Cikgu harapkan tip belajar semasa cuti sekolah yang cikgu ko ngsikan dalam keluaran yang lalu bermanfaat buat adik-adik. Kali ini, cikgu akan berkongsi dengan adik-adik tip memanfaatkan masa semasa cuti sekolah. Khususnya berkongsi perkara yang boleh memberi manfaat kepada pelajaran adik-adik. 1 . Bijak menggunakan internet. Elakkan diri adik-adik daripada menghabiskan masa yang lama dengan melayari internet. Khususnya melayari lamanlaman sosial seperti facebook, twitter dan youtube. Kecuali adik-adik menggunakannya bagi tujuan pembelajaran. Contohnya ; Melayari portal-portal pendidikan online yang berkaitan dengan mata pelajaran adik-adik. Memanfaatkan e-mel dan laman sosial bagi bertukartukar ilmu dan pengalaman bersama rakan-r...

CIRI-CIRI PELAJAR YANG GAGAL

1. Mempunyai sifat “malas” yang menjadi musuh utama kejayaan. 2. Tidak bermotivasi. 3. Mempunyai tanggapan bahawa pelajaran belum tentu memberi jaminan masa depan. 4. Menjadikan seseorang yang telah gagal sebagai idola atau model. 5. Tidak bersedia menghadapi pembelajaran dalam bilik darjah. 6. Tiada perancangan untuk belajar dengan berkesan. 7. Terpengaruh dengan rakan-rakan sebaya yang menjurus ke arah perkara-perjara yang tidak baik. :-( 8. Sentiasa menangguhkan masa untuk belajar hingga ke saat-saat akhir peperiksaan. 9. Datang lewat ke sekolah dan selalu ponteng sekolah. 10. Gagal menyiapkan tugasan yang diberi oleh guru. 11. Berangan-angan dan sering bermain-main dalam bilik darjah. 12. Tidak mempunyai kelengkapan persekolahan yang lengkap untuk proses pembelajaran. 13. Sentiasa bermasalah, suka mencari masalah dan mendatangkan masalah di sekolah dan luar sekolah. 14. Melibatkan diri dalam aktiviti yang tidak sihat seperti melepak dengan rakan-rakan d...